Monday, May 5, 2008

Kajian Kes: Berita Harian 5 Mei 2008

Asean stabil harga beras



KRISIS MAKANAN: Pekerja memeriksa bekalan beras di sebuah pasar di Jakarta, semalam.

Langkah meningkatkan pengeluaran mampu atasi krisis global

NUSA DUA: Indonesia menyifatkan usaha 10 negara anggota Asean mengawal selia eksport beras sambil meningkatkan pengeluaran bagi tempoh jangka panjang, mampu menstabilkan peningkatan mendadak harga pada peringkat global.

Menteri Perdagangan Asean kelmarin bersetuju untuk bekerjasama berhubung pasaran beras, tetapi tidak memutuskan sebarang langkah konkrit untuk menangani peningkatan mendadak harga makanan ruji di rantau itu.


Namun, Menteri Perdagangan Antarabangsa Indonesia, Mari Pangestu dalam satu temu bual dengan agensi berita Reuters, semalam, menegaskan sebarang persetujuan di kalangan menteri terbabit mengenai usaha menstabilkan harga beras boleh menjadi petunjuk penting kepada pasaran.

"Kita sememangnya mengakui kepentingan harga yang stabil. Atau ringkasnya, stabil bererti anda tidak mahukan harga itu terus meningkat sama ada naik atau turun," katanya.

"Sehubungan itu, kita bersetuju meneruskan amalan perdagangan yang adil dan memastikan perdagangan beras serantau dengan lebih tersusun," tegasnya.

Harga beras meningkat tiga kali ganda tahun ini dengan harga penanda aras serantau bagi beras putih 100 peratus Gred B mencecah AS$1,000 (RM3,160) satu tan. Kenaikan harga bahan makanan itu disebabkan beberapa faktor termasuk inflasi makanan dunia, cuaca buruk di sesetengah negara pengeluar dan permintaan melebihi bekalan.

Masalah itu turut mengancam kehidupan golongan miskin di negara sedang membangun serta mencetuskan kebimbangan berlaku kekacauan dan masalah sosial. Ini menyebabkan beberapa negara, termasuk Thailand yang juga pengeksport beras terbesar dunia, dua hari lalu, menyuarakan hasratnya menubuhkan sebuah kartel beras bersama empat lagi negara jiran bagi membolehkan mereka mengawal harga bahan makanan berkenaan.

Kartel yang dicadangkan itu sama seperti pakatan yang diwujudkan negara pengeluar minyak menerusi Pertubuhan Negara Pengeluar Minyak (Opec). Thailand akan merundingkan cadangan itu dengan Laos, Myanmar, Kemboja dan Vietnam, yang dilihat cubaan meningkatkan pengaruh mereka ke atas harga beras.

Di Manila, Institut Penyelidikan Beras Antarabangsa (IRRI) menyarankan kerajaan dan agensi antarabangsa menilai program sembilan perkara pihaknya bertujuan menangani permasalahan isu beras.

"Pengeluaran beras boleh dipertingkatkan tetapi jalan keluarnya memakan masa. Masyarakat dunia perlu melabur untuk meningkatkan pengeluarannya dalam jangka masa panjang," kata IRRI.

Thailand pula menyuarakan hasratnya untuk menghantar lebih banyak beras ke pasaran dunia tahun ini berbanding sejumlah 9.55 tan makanan itu yang dihantar tahun lalu.

Filipina yang juga negara pengimport beras terbesar dunia menyuarakan kebimbangan di atas cadangan Thailand kerana menyebabkan sekumpulan kecil pengeluar mengawal bekalan dan meletakkan harga terlalu tinggi.

Bagaimanapun, Pangestu berkata, Indonesia berpendapat, tidak wajar bagi negara Asia meningkatkan bekalan beras bagi membantu mengawal inflasi tempatan.

"Sebaliknya mereka perlu mengelak mewujudkan dasar keterlaluan yang boleh mengganggu harga global."

India, Vietnam, Indonesia dan Brazil sudah mengehadkan eksport makanan bagi memastikan bekalan tempatan mencukupi. � Reuters

No comments: