Monday, May 5, 2008

Kajian Kes: Berita Harian 5 Mei 2008

Tinjauan pasaran: Pelabur pantau pergerakan dolar, harga kelapa sawit


SAHAM di Bursa Malaysia mengalami pembetulan akibat pengambilan untung minggu lalu daripada lonjakan tiga minggu selepas kejatuhan dalam komoditi global yang dicetuskan oleh rali dalam dolar Amerika Syarikat (AS), mengheret saham perladangan ke paras paling rendah.

Penanda aras bursa, Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) susut 16.6 mata atau 1.3 peratus pada 1,271.48, dengan purata jumlah dagangan harian merosot kepada 539.4 juta saham, berbanding purata 718 juta minggu sebelumnya.

Rizab Persekutuan AS merendahkan sasarannya bagi kadar dana Persekutuan dan kadar caj bank, masing-masing bagi pinjaman semalaman kepada dua peratus daripada 2.25 peratus, menjadikan pengurangan terkumpul kadar faedah sejak September kepada 3.25 mata peratusan.


Rabu lalu Rizab Persekutuan AS menurunkan kadar faedah kali ketujuh dalam lapan bulan, tetapi memberi isyarat bahawa satu daripada langkah paling agresif penurunan kadar faedah pada depan semakin berakhir.

Di peringkat domestik, senario politik negara terus memberi kesan terhadap pasaran. Pelan kerajaan menyemak semula beberapa projek di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan kurang menyenangkan pelabur.

Terbaru ialah projek Jambatan Kedua Pulau Pinang yang tertangguh antara sembilan hingga 12 bulan, selain Jalan Lingkaran Luar Pulau Pinang dan monorel yang juga dijangka berdepan masalah.

Pasaran dijangka terus mengalami pembetulan dengan indeks berwajaran berat, saham perladangan kekal di bawah tekanan jualan. Ini akan memberikan peluang belian memandangkan asas sektor kekal sihat, walaupun harga minyak sawit mentah naik turun.

Sentimen bulis di pasaran hadapan diawasi momentum belian lemah dan perkara negatif di pasaran tunai, walaupun pencapaian kukuh daripada peserta asing yang dicetuskan oleh pengumuman data ekonomi AS yang dijangka lebih baik.

Menuju ini, pasaran dijangka kekal lemah dan menuju platform sokongan lebih baik 1,240 mata dan 1,220 mata dengan kegiatan jualan memandangkan momentum belian yang lemah dan menyaksikan pembelian saham berharga murah.

Dalam aliran menaik, dijangkakan paras psikologi 1,300 mata akan memberikan ketahanan serta merta sejak kegiatan jualan ketara dikesan sepanjang urus niaga minggu lalu.

Pelabur akan memantau lebih dekat kekukuhan dolar AS yang akan memberi kesan terhadap komoditi dunia, khususnya harga minyak sawit yang mana akan memberi tekanan terhadap saham perladangan dan seterusnya kepada KLCI.

No comments: